KELUARGA ?
Cerpen “ Jerat Sudah Mengena “ merupakan sebuah cerita pendek yang ditulis oleh Azizi Hj. Abdullah.
Cerpen ini mengisahkan sebuah keluarga yang hidup dalam kesederhanaan. Tacen, ketua keluarga yang menyara kehidupan keluarganya dengan hasil tangkapan menjerat binatang hutan untuk dijual. Hasil wang itu lah yang digunakan bagi menyara isteri dan anak- anaknya. Isterinya pernah menyuruhnya mencari pekerjaan lain namun tidak diendahkannya.
Pada suatu hari, Tacen mengajak anaknya, Badon pergi memasang jerat di tengah hutan. Tacen telah mengajar Badon cara- cara memasang jerat, mencari tempat sesuai seperti denai untuk memasang jerat, menunjukkan bagaimana binatang itu masuk jeratnya tergantung dan terjerat kaki dan sebagainya. Hari itu, Badon yang belum mengerti itu juga belajar sedikit sebanyak. Bapanya meminta tolong Badon memegang rotan untuk dilentur. Tiba – tiba Badon terlepas rotan itu dan terkena mata bapanya. Dalam kesakitan bapanya memarahinya dan Badon memimpin bapanya hendak bawa pulang ke rumah. Di dalam hutan tersebut terlalu banyak jerat yang dibuat bapanya yang dia tidak tahu di mana. Dia tidak hiraukan segala jerat itu. Dalam hatinya tekad ingin membawa bapanya pulang ke rumah.
Tiba- tiba, Badon telah terkena jerat bapanya. Kakinya terjerut, kepalanya tertunggang ke atas. Badon menjerit meminta tolong bapanya. Tacen tidak tahu untuk berbuat apa kerana tidak boleh melihat dan mencari anaknya. Dia hanya mampu menjerit sekuat hati untuk meminta tolong. Namun, tiada sesiapa yang mendengar. Kesayangan pada anak mengatasi segala- galanya. Akhir sekali, Tacen mendapat satu akal. Biarlah sakitnya menekan- nekan, biarlah darahnya membuak – buak. Anaknya mesti diselamatkan. Dengan amat payah, dia meraba- raba dimana tunjang jeratnya yang dipacak kukuh itu. Dan bila sudah didapatinya, dia menetak dengan kuat sehingga rotan sebesar ibu jari itu putus lalu jatuhlah Badon ke tanah. Dia mendakap Badon dengan penuh kasih sayang, dia memeluk Badon dengan eratnya dan bertekad untuk bawa Badon ke rumah walaupun matanya tidak dapat melihat kerana luka.
Cerpen ini banyak memberi pengajaran dan tauladan kepada kita dengan memaparkan kisah tentang kasih sayang antara satu sama lain dalam sebuah keluarga iaitu kasih isteri terhadap suami, kasih ayah terhadap anak dan begitulah sebaliknya. Dalam sesebuah keluarga, kita haruslah menjaga hubungan yang baik dan berusaha untuk mengeratkan silaturrahim walaupun kadang- kadang mempunyai masalah sesama sendiri. Hal ini demikian kerana air yang dicincang tidak akan putus.